Ads (728x90)

z



Tangon do rungus: Dangol om Polihan (BM: Parang dan Tali)

Tersebutlah kisah seorang budak lelaki yang ditinggalkan oleh ibubapanya sejak kecil. Budak itu hanya tinggal di rumah panjang bersama neneknya yang sudah tua dan uzur. Kehidupan mereka berdua amatlah miskin. Mereka terpaksa meraih simpati dari penduduk kampung yang melalui ruangan mereka. Sehinggakan ada penduduk kampung yang tidak mahu melintasi ruangan mereka kerana takut diminta makanan.

Suatu hari, budak itu disuruh oleh neneknya pergi ke hutan untuk mencari bahan-bahan bagi membuat bubu. Setelah mendapatkan bahan-bahan yang dimintanya nenek segera membuat bubu dan menyuruh cucunya memasangnya ke sungai. Sebelum pergi neneknya berpesan agar bahagian tepi sungai itu ditutup supaya ikan dapat masuk ke dalam bubu.

Budak lelaki itu pun pergilah ke sungai untuk memasang bubunya. Sesampai ke sana dia tidak memasang bubu itu ke dalam sungai tetapi sebaliknya dia meletakkan bubunya itu pada dahan kayu. Kemudian terus pulang ke rumah. Setelah sampai ke rumah neneknya segera bertanya tempat bubu itu dipasang. Tetapi budak itu berbohong kepada neneknya dengan mengatakan bubu itu dipasangnya di dalam sungai.

Pada keesokkan harinya budak itu pun pergilah ke sungai untuk memeriksa bubunya tetapi bubunya kosong. Setelah pulang kerumah neneknya bertanya jikalau ada hasil tangkapan. Tetapi jawab budak itu, ”tidak ada tangkapan tetapi umpanku habis dimakan”. ”Jika begitu saya akan mengikutimu esok, mungkin engkau salah memasangnya”, kata neneknya. ”Tidak perlu kerana aku hendak mengintip pemakan umpanku”, bantah budak itu.
Maka pada keesokkan harinya budak itu pun pergilah mengintip pemakan umpan bubunya. Didapatinya seekor burung berbulu putih yang memakan umpannya. Dia segera menangkap burung itu tetapi burung itu terbang. Dia pun mengejarnya tetapi tidak berjaya. namun budak itu tidak berputus asa, dia terus mengejar burung. Setelah lama mengejar budak itu pun sesat ke dalam hutan. Dia sangat risau kerana tidak tahu jalan pulang. Oleh kerana tidak tahu ke mana lagi hendak dituju, budak itu pun meneruskan perjalanannya sehingga terjumpa sebuah rumah di tengah hutan. Budak itu segera datang ke rumah itu sambil memanggil. Tetapi tidak ada yang menjawab. Setelah lama memanggil, akhirnya panggilannya disahut oleh seorang perempuan tua. Perempuan itu ialah seorang Bobolizan. Dia tidak pernah bergaul dengan penduduk kampung yang lain kerana takut dikotori. Perempuan itu pun bertanya tentang tujuan budak itu datang ke tempatnya. Budak itu pun menceritakan perjalanannya hingga tiba di rumah itu. Bobolizan itu sangat kasihan mendengar cerita anak itu lalu membenarkannya bermalam di rumahnya.

Ketika budak itu sedang tidur, Bobolizan itu mendekati budak itu sambil mengamat-amati budak itu. Melalui keadaan pakaiannya yang compang-camping dan tubuh yang kurus, Bobolizan itu tahu bahawa budak itu berasal dari keluarga yang sangat miskin. Dia terfikir sudah tentu budak itu memerlukan pertolongan bagi merubah nasibnya.

Pada keesokkan harinya sebelum budak itu meninggalkan rumahnya Bobolizan pun berkata, ”saya tidak ada apa-apa untuk diberi sebagai bekalanmu dalam perjalanan melainkan sebilah parang dan tali ini sahaja dapat kuberi”. Parang yang hendak diberi oleh Bobolizan itu sebesar tiga kaki lebar, manakala tali itu sebesar pemeluk kayu. Budak itu pun berkata, ”bagaimana saya dapat membawanya kerana sangat berat?”. Tetapi jawab Bobolizan itu, ”jangan risau apabila kamu memanggilnya ia akan mengikutimu”.
Budak itu pun meneruskan perjalannya untuk mencari tempat asalnya. Setiba di puncak bukit, dia segera memanggil parang dan talinya lalu menyuruh parang itu menebang pokok-pokok dan menyuruh tali melilit pada pokok-pokok itu. Dalam sekelip mata suatu kawasan yang luas dapat dibersihkan. Barulah budak itu meneruskan perjalanannya. Setelah hampir tiba di rumahnya barulah budak itu menyuruh parang dan talinya berhenti.

Setelah tiba di rumah, nenek segera mendapatkannya sambil bertanya mengapa lama tidak balik ke rumah. budak itu pun menceritakan perjalanannya kepada neneknya.

Manakala di dalam kampung itu ada seorang Solutan yang mempunyai seorang isteri yang sedang mengandung dan mengidam mempelam tunggal. Jika pokok mempelam itu berbuah lebih daripada satu, maka dia tidak akan memakannya. Dia dapat mengetahui samaada buah mempelam yang diberi kepadanya mempelam tunggal atau tidak. Walaupun sudah beberapa minggu Solutan itu mencari tetapi masih belum terjumpa buah mempelam yang dimaksudkan itu. Keadaan ini amat merunsingkan Solutan kerana tidak sampai hati melihat isterinya yang sudah terlalu kurus kerana tidak mahu makan.

Akhirnya Solutan terpandang sepohon pokok mempelam yang tumbuh di atas batu. Dilihanya pokok itu mempunyai sebiji mempelam sahaja. Tetapi batu tempat pokok itu tumbuh amatlah licin. Sehingga tidak ada seorang pun orang-orang suruhannya yang berjaya memanjatnya. Akhirnya Solutan sendiri yang memanjatnya, barulah mempperolihinya. Setelah mendapatkan buah itu, Solutan segera pulang ke rumahnya lalu memberinya kepada isterinya. Selepas memakan buah itu barulah keadaan isteri Solutan itu pulih.

Beberapa bula kemudian isteri Solutan itu selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Tujuh hari selepas kelahiran anaknya Solutan bermimpi anaknya akan disunting oleh Raja Banadan. Jika tidak dikahwinkan , kampungnya akan dirompak. Setelah terjaga dari tidur Solutan sangat takut sekiranya mimpinya akan menjadi kenyataan.

Apa yang dimimpikan oleh solutan itu menjadi kenyataan kerana, setelah anaknya genap berumur sepuluh tahun, datanglah rombongan dari kampung Banadan. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk menyunting anak Solutan menjadi isteri raja mereka. Solutan sangat risau mengenangkan nasib anaknya kerana Raja Banadan itu seorang yang kejam. Sudah ramai isterinya yang menjadi mangsa kekejamnya. Walaupun hanya melakukan kesalahan yang kecil sekalipun sanggup dibunuhnya.

Solutan pun meminta orang-orang suruhannya menyampaikan berita buruk itu di seluruh pelusuk kampung untuk mendapatkan bantuan. Nasib mereka sangat baik kerana ada orang yang mencadangkan agar Solutan bertemu dengan seorang budak yang mempunyai azimat. Budak yang dimaksudkan itu ialah budak yang mendapat parang dan tali dari seorang Bobolizan.

Solutan pun pergilah menemui budak itu dan menceritakan hal kampung itu yang akan dirompak sekiranya menolak pinangan Raja Banadan itu. Budak itu pun berkata kepada Solutan, ”biarkan sahaja mereka datang menyerang”. Tidak lama selepas itu, Raja Banadan pun datanglah semula menuntut janjinya. Tetapi Solutan menolak pinangan Raja Banadan itu atas alasan anaknya masih kecil dan tidak sanggup untuk berjauhan dengan anaknya. Raja Banadan sangat marah kerana pinangannya telah ditolak.

Dia segera mengerah askar-askarnya untuk menyerang dan merompak kampung Solutan. Tidak lama kemudian, Solutan ternampak deretan kapal-kapal perang di tepi pantai. Budak lelaki yang menyedari hal itu segera memanggil parang dan talinya. Budak itu menyuruh parangnya menetak manakala talinya melilit. Apalagi tali segera melilit kapal-lapal dan askar-askar itu. Manakala parang segera menetak askar-askar raja Banadan sehingga habis mati. Raja Banadan sangat takut lalu segera melarikan dirinya.

Solutan sangat gembira diatas kemenangannya itu. Dia membuat keputusan untuk menunangkan budak lelaki tiu dengan anaknya. Setelah kedua-duanya sudah dewasa, mereka pun dikahwinkan, seterusnya mewarisi kekayaan dan pengaruh Solutan.

TAMAT

OOOONNNNOOO kanto dikou.. (Copy: RFM)

Post a Comment