Ads (728x90)

z

Asal-Usul Bangsa Momogun Rungus Sabah

patung rungus

Sebelum penjajahan kuasa-kuasa Barat, tidak wujud sejarah bertulis di kalangan bangsa Momogun Rungus di Borneo. Kisah-kisah lalu mengenai pengalaman dan kehidupan mereka wujud dalam bentuk tradisi lisan yang disampaikan turun temurun hingga ke hari ini.Tidak dapat dipastikan dengan tepat bila dan bagaimanakah kemunculan bangsa Momogun Rungus yang menghuni pulau Borneo amnya. Nenek moyang bangsa Momogun Rungus di Borneo dipercayai telah melalui beberapa siri migrasi sejak lebih kurang 20 ribu tahun yang lalu. Kedatangan dan pendudukan awal mereka adalah berlaku di kawasan-kawasan pantai dan tanah rendah. Lambat-laun, penempatan mereka mula tersebar ke kawasan-kawasan pedalaman. Andaian umum menyebut bahawa kumpulan yang terawal tersebar ke pedalaman adalah berlaku akibat daripada desakan kemunculan kumpulan pendatang baru sejak lebih kurang pada ke-15.

Pakar dalam bidang seni dan sejarah masih dalam proses mencari asal usul suku kaum Rungus.Menurut kajian yang dilakukan, kemungkinan besar orang Rungus berasal dari pedalaman Mongolia. Hal ini kerana terdapat persamaan antara seni budaya dan kehidupan orang-orang Mongolia dengan seni budaya orang Rungus di Sabah.Dipercayai terdapat sekumpulan manusia dari sekitar zaman Mesolotik atau Neolotik yang berimigrasi dari tanah asal. Pada zaman itu, lautan telah menjadi beku kerana iklim dunia yang sangat sejuk. Kumpulan nomad ini ialah nenek moyang Momogun Rungus yang mengembara sehingga tiba di kepulauan Borneo.

Masih ramai sarjana moden dari Barat enggan menerima sumber lisan penduduk pribumi sebagai sumber sejarah kerana dipercayai fakta-faktanya tidak sahih. Pegangan ini memang benar, namun sumber lisan itu memiliki nilai sejarah yang tinggi jika usaha mentafsirnya secara rasional dilakukan dengan baik. Kerap kali unsur mitos dan legenda diadunkan dalam cerita asal menyebabkan fikiran logik manusia enggan menerima dan mempercayainya. Tetapi fikiran yang rasional sentiasa menimbulkan persoalan untuk memberi pertimbangan terhadap kewujudan unsur-usur fantasia dalam tradisi lisan penduduk pribumi. Pendek kata, sumber lisan itu merupakan 'tulisan atau sumber maklumat' sejarah masyarakat primitif dahulu kala, dan hari ini menjadi khazanah yang amat bernilai namun mengalami proses kepupusannya dalam arus teknologi hari ini.

Menurut legenda yang diceritakan dari generasi ke generasi, kononnya bangsa Momogun Rungus(tamadun nunuk ragang) ini diasaskan oleh seorang usan-usan yang dianiaya oleh saudara-saudaranya kerana dia mempunyai pelbagai kemahiran. Dia pandai membuat perangkap haiwan dan membuat senjata-senjata yang mampu melindungi masyarakatnya ketika itu. Disebabkan kemahiran yang dimilikinya, dia dianiaya.Ini menyebabkan dia dihukum bersama isteri dan orang-orangnya yang setia dengan menghanyutkan mereka ke dalam lautan.

Kapal yang mereka naiki itu terdampar di kepulaun Borneo lalu mereka menuju ke Pampang Nabalu untuk tujuan keagamaan. Dia menggelarkan dirinya sebagai 'Usan-Usan' yang tiada keluarga kerana dia dianiaya oleh adik-beradiknya sendiri.

Selama mereka di situ, mereka terus dibangkitkan dengan semangat keagamaan berikutan penyembahan mereka kepada Lumaag Nabalu. Upacara keagamaan terus berkembang apabila mereka semakin ramai.Seorang tokoh agama yang mahir dalam hukum dan mewarisi adat istiadat dari Usan-Usan ialah Aki Bobolizan Gomburon. Disebabkan mereka semakin ramai, maka mereka merasakan bahawa adalah perlu hukum masyarakat diwartakan menurut peraturan si Usan-Usan.

Aki Bobolizan Gomburon menguatkuasakan Hukum Gomburon yang paling ketat iaitu kalau berzina akan dihanyutkan ke dalam air dengan memasukannya dalam bubu atau 'popok' bersama batu besar.Batu itu harus dipilih sendiri oleh si pesalah tersebut.Jika ada orang yang membunuh dengan sengaja,maka orang itu akan dihukum bunuh juga.

Peraturan ini terus diamalkan sehinggalah Aki Bobolizan Guraumanuk mendapat wahyu dari Lumaag Nabalu dengan menghapuskan Hukum Gomburon. Menurut wahyu tersebut,segala dosa dapat digantikan atau di bayar dengan memberi korban penebus salah iaitu "mangaraha" (korban sembelihan babi).

Segala dosa dapat dibayar dengan korban nyawa yang ditebus melalui pembayaran nyawa ternak. Tugas ini dilakukan oleh seorang "bobolizan" yang bermakna "tukang bayar hutang dosa dan orang tengah untuk memohon pengampunan dosa kepada Kinoringan". Itulah maksud Bobolizan yang berasal daripada perkataan "bwolzi = Beli ".Babi yang digunakan untuk membeli berkat atau membeli permohonan ampun kepada Kinoringan tidak boleh dipanggil babi (vogok, wogok).Ia harus dipanggil "BWOLZI". Bwolzi merujuk kepada peranan ternak tersebut dalam persembahan korban sebagai penebus atau pembeli semangat baru untuk pembayaran dosa.

Lalu bangsa momogun semakin ramai pada zaman ketuanya Aki Nunuk Ragang. Aki Nunuk Ragang adalah seorang bobolizan yang paling masyur dalam mengembangkan ajaran agama Pagan(labus). Sebelum Aki Nunuk Ragang meninggal dunia, Aki Bobolizan Guraumanuk telah mendapat satu mesej dari Lumaag Nabalu .Mesej ini adalah satu peraturan baru di mana ketiga-tiga anak lelaki Aki Nunuk Ragang harus berhijrah ke tempat lain kerana Lumaag Nabalu mengatakan bahawa semua sungai-sungai yang mengalir dari Gunung Kinabalu sehingga ke Laut adalah milik Momogun. Oleh itu, cucu-cicit Momogun harus memilih satu tempat yang tinggi iaitu bukit atau gunung paling tinggi di mana-mana daerah yang mereka tiba kelak. Semua sungai yang mengalir ke laut dari bukit tersebut adalah tempat yang disertai semangat Lumaag Nabalu dengan mengundangnya melalui satu upacara yang disebut "MOMURINAIT" (menyebut 7 nama semangat utama yang menjaga bangsa Momogun).

Ajaran Aki Bobolizan Guraumanuk ini dikembangkan oleh Aki Nunuk Ragang. Segala wasiat Aki Bobolizan Guraumanuk diwartakan oleh Aki Nunuk Ragang. Tiga orang anak lelaki Aki Nunuk Ragang ialah Aki Rungsud (nenek moyang orang Rungus), Aki Longuvai (nenek moyang orang Kadazan Penampang) dan Aki Turumpok (nenek moyang semua suku kaum Dusun).

Aki Nunuk Ragang menghantar anaknya Aki Rungsud (anak lelaki sulung) dan Aki Longuvai (anak lelaki kedua) ke pesisir pantai dengan menguasai Pompod Tana (Kudat, Kota Marudu dan Pitas) supaya tidak dicemari oleh pencerobohan pihak Mizonvaig (orang laut). Menurut mesej yang mereka dapat melalui "Rundukan" (didatangi oleh Lumaag dan berkata-kata dalam bahasa yang tidak dapat difahami) kawasan pertemuan rahat kotonobwon (laut di sebelah barat) dan rahat kosilzahon(laut di sebelah timur) mula dicerobohi oleh pihak luar. Maka Aki Nunuk Ragang membuat keputusan untuk menguasai seluruh kawasan pesisir pantai demi menjaga keselamatan penduduk. Oleh yang demikian, rombongan yang bertanggungjawab dalam mempertahankan pesisir pantai adalah Aki Rungsud dan Aki Longuvai.

Aki Turumpok sebagai anak bongsu lelaki adalah sebagai Tandon Tongkob (mewarisi tempat tinggal bapanya). Sebagai Tandon Tongkob,Aki Turumpok mewarisi rumah bapa mereka. Tandon Tongkob masih wujud dalam adat orang Rungus pada masa kini. Tandon Tongkob bermaksud "isi atau penghuni yang kekal melekat dalam bilik".Maka Aki Turumpok adalah pewaris Kg. Nunuk Ragang dan menjadi ketua di sana.

Tidak lama kemudian,Aki Nunuk Ragang meninggal dunia lalu dikuburkan berhampiran dengan sebuah danau yang dalam.Danau itu terletak di tempat yang sekarang ini bernama Kampung Tampias di daerah Lubuk Sugut, Sandakan.Menurut legenda setelah 40 hari Aki Nunuk Ragang dikebumikan, pada hari upacara "Mongupus" tumbuhlah sejenis pokok ara di tengah-tengah kubur Aki Nunuk Ragang. Pokok ara tersebut agak berlainan kerana ia berwarna merah dan jika daunnya tercalar pokok itu akan mengeluarkan darah manusia. Lalu orang-orang Aki Nunuk Ragang menyembah pokok tersebut dan menamakannya Nunuk Ragang kerana mereka percaya pokok itu merupakan jelmaan Aki Nunuk Ragang.

Sementara itu, Aki Rungsud berjaya menguasai Pompod Tana dan keturunan mereka disebut sebagai Momogun Rungus. Manakala Aki Longuvai semasa mereka hendak keluar dari Nunuk Ragang isterinya sedang sarat melahirkan anak lalu mereka akan menyusuli Aki Rungsud kemudian. Perjalanan Aki Rungsud akan ditandai dengan kukurungan (sangkar ayam).Hal ini kerana setiap puncak bukit yang dilalui oleh Aki Rungsud akan dikorbankan seekor ayam bagi mengundang penghulu semangat Borneo iaitu Lumaag sebagai pengistiharan kuasa terhadap wilayah yang mereka lalui.

Semasa Aki Longuvai menyusul abangnya, dia telah tersilap arah.Ini kerana pada satu jalan terdapat dua persimpangan yang menuju ke arah yang berlainan.Kukurungan yang ditandakan oleh Aki Rungsud pada arah jalan yang dilaluinya telah dialihkan oleh orang yang berhati busuk ke jalan yang satu lagi.Maka Aki Longuvai pun tersesat dalam perjalanan menyusuri Aki Rungsud sehingga mereka sampai ke kawasan Pinampang(Penampang). Mereka kekurangan bekalan makanan lalu mereka mengambil keputusan untuk membuat ladang bukit di sana.

Setelah sekian lama, mereka tidak sampai-sampai di Pompod Tana akhirnya Aki Rungsud mendapat tahu melalui Lumaag bahawa Aki Longuvai tersesat.Aki Rungsud mengarahkan orang suruhannya mencari Aki Longuvai lalu mereka menemui Aki Longuvai di Pinampang(Penampang).Orang suruhan Aki Rungsud menjemput Aki Longuvai menyertai misi di Pompod Tana tetapi Aki Longuvai menolak pelawaan itu.Ini kerana Aki Longuvai tidak bersedia untuk hidup dalam peperangan dan keadaan darurat yang dialami di sana. Untuk memenuhi permintaan bapa mereka,Aki Nunuk Ragang kodori (mendiang/arwah),Aki Longuvai berjanji akan menghantar anak sulungnya yang lahir semasa mereka hendak keluar dari Nunuk Ragang iaitu Aki Bulun. Aki Bulun tanpa ditemani sesiapa datang ke Pompod Tana apabila mencapai umur kira-kira 17 tahun. Aki Bulun membawa 7 ekor anjing kebal yang mampu menumpaskan harimau.

Dalam upacara pembahagian Pompod Tana, Aki Bulun dan Aki Rungsud membuat pembahagian kawasan dengan membahagikan sempadan melalui sejauh mana bunyi paluan gong Aki Rungsud.Maka, para handalan pun berkhemah di setiap puncak bukit di seluruh wilayah Pompod Tana ketika itu untuk mendengar bunyi paluan gong. Sehingga bunyi gong tidak didengar lagi,maka barulah dipacakkan sebilah lembing yang dinamakan Binorudan. Binorudan ialah lembing pahlawan pantai bersaiz pengayuh kapal layar yang sederhana besar saiznya.

Pada hari ini keturunan Aki Bulun dikenali sebagai Rungus Gonsomon yang menguasai pantai timur Kudat.Jika diperincikan lagi,bahasa Rungus Gonsomon hampir sama dengan bahasa Kadazan Penampang.Oleh kerana banyaknya dialek bahasa dalam etnik Kadazan Dusun, dipercayai bahasa asal yang digunakan sebelum perpisahan Aki Rungsud dan Aki Longuvai ialah Momogun Rungus.Disebabkan pihak penjajah terlebih dahulu menjajah kawasan tersebut, maka kawasan Penampang lebih awal mengecapi pembangunan dengan terbinanya kedai-kedai untuk kepentingan perniagaan penjajah ketika itu.Menurut cerita nenek moyang,'kedai-kedai' yang menjadi kawasan petempatan oarang-orang Aki Longuvai itulah asalnya mereka dikenali sebagai orang Kadazan.Dalam bahasa Rungus,'Kakadazan' merujuk kepada 'kedai-kedai'.Apabila orang-orang Aki Rungsud merujuk kepada orang-orang Aki Longuvai, mereka akan menggelar mereka sebagai 'tulun antad sid kakadazan' yang bermaksud orang-orang dari kawasan kedai (atau lebih maju).

Kawasan Nunuk Ragang setelah beberapa lamanya telah berpecah-belah kerana Aki Turumpok tidak mengambil tahu akan hukum-hukum agama Labus(Pagan). Aki Turumpok lebih cenderung dalam persaingan ilmu magik yang mangakibatkan kawasan Nunuk Ragang mendapat satu kopizo (petanda) buruk. Apa saja mereka lakukan akan menghasilkan perbalahan dan saling bermusuhan antara satu sama lain. Keadaan ini berakhir dengan serangan penyakit kerana upacara mamasi tidak di lakukan.

Post a Comment